solat jemaah
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membenarkan pertambahan bilangan jemaah untuk solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ruang solat perlu mematuhi penjarakan sosial 1.5 meter selain jemaah perlu mendaftar dan mengikut giliran.

“Bagi solat fardu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, kehadiran jemaah wanita hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Sultan Selangor berkenan membenarkan semua masjid dan surau dibuka semula mulai 3 Julai lalu bagi solat Jumaat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Solat Jumaat dan fardu berjemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah ditetapkan 1,000 orang.

Kehadiran jemaah semua masjid lain pula ditetapkan maksimum 500 orang tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat itu.

Bagi surau yang ada kebenaran mengadakan solat Jumaat, bilangan maksimum adalah 40 orang.

Syarat sama turut terpakai bagi solat fardu berjemaah bagi surau lain dan jumlah tersebut tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau. – MalaysiaGazette