Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berhubung kekosongan kerusi DUN Slim.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini di ibu pejabatnya  untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan Pilihan Raya Kecil (PRK), termasuk daftar pemilih yang akan digunakan bagi DUN tersebut.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom.

“Berdasarkan Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan – “Sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh yang dipastikan oleh SPR kekosongan itu berlaku”

“Justeru itu, Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom, yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan, dan
persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort pada jam 2.30 petang.

Allahyarham merupakan wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Allahyarham mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal yang mewakili Pas.- MalaysiaGazette