Gambar hiasan

SUDAH sampai masanya pihak-pihak berkaitan dalam negara kita boleh memberi pertimbangan terhadap cadangan bagi mewujudkan undang-undang khusus mengenai “Anti Lompat Parti” bagi menghentikan tindakkan mana-mana pihak yang telah dipilih dan dilantik oleh rakyat melalui proses pilihanraya yang sah daripada melompat parti tanpa sebab- sebab yang kukuh atau alasan yang munasabah. Undang-undang khusus mengenai perkara terbabit juga adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara kita untuk tempoh jangka masa panjang serta yang paling penting dapat melindungi hak rakyat negara ini yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi mereka kepada ahli politik yang terlibat ketika proses pilihan raya.

Sekiranya mana-mana pihak yang berkaitan mengambil tindakan untuk melompat parti tanpa sebarang sebab yang kukuh atau tanpa alasan yang munasabah dibimbangi akan menyebabkan negara kita berada dalam keadaan yang tidak menentu serta tidak stabil sehingga boleh menjejaskan proses pentadbiran negara dan kehidupan rakyat. Sekiranya amalan melompat parti ini berterusan berlaku juga dibimbangi negara kita boleh menjadi huru-hara, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara kita akan terjejas sekaligus memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat.

Namun perlu diketahui, adalah sukar untuk cadangan undang-undang anti-lompat parti terbabit dilaksanakan pada masa kini dalam negara kita kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan isu berkaitan dengan kebebasan setiap warga negara Malaysia untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Perkara (10)(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa (a) tiap-tiap warga negara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dan (c) semua warga negara berhak untuk membentuk persatuan.

Pada masa yang sama juga sudah terdapat kes mahkamah yang jelas terhadapnya dalam negara kita. Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ 343 telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Walaupun terdapat kes mahkamah mengenai isu terbabit, namun perlu diketahui juga pihak Mahkamah Persekutuan juga mempunyai kuasa untuk mengubah keputusannya sendiri.

Pihak Mahkamah Persekutuan boleh diberi peluang untuk mengkaji semula keputusan Nordin bin Salleh itu serta mendapat satu bentuk perundangan yang baru terhadap isu lompat parti dalam negara kita. Proses pengkajian ini bukan lah satu perkara yang baru dilakukan. Proses pengkajian semula ini boleh dilihat di dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit, yang mana keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000 telah dikaji semula oleh Mahkamah yang sama pada tahun 2010. Sebagaimana pihak Mahkamah Persekutuan telah mengkaji semula keputusannya dalam kes Boonsom Boonyanit selepas 10 tahun, adalah di harap pihak Mahkamah Persekutuan dapat mengkaji semula keputusannya dalam kes Nordin Salleh bagi menyelesaikan isu lompat parti dalam negara kita.

Cadangan bagi mewujudkan peruntukkan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini adalah penting kerana implikasi yang besar yang boleh timbul sekiranya tiada tindakan tegas diambil dari sekarang bagi membendungnya. Melalui cadangan undang-undang terbabit, sekurang-kurangnya syarat boleh diberikan kepada mana-mana wakil rakyat untuk membenarkan mereka bertukar parti selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi kerusi yang telah dimenangi oleh mereka. Cadangan bagi mewujudkan peruntukkan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini boleh dipertimbangkan oleh mana-mana pihak yang berkaitan dalam negara kita demi kestabilan politik jangka panjang dalam negara kita serta bagi mengelakkan negara kita menjadi kucar-kacir akibat daripada isu lompat parti yang tidak berkesudahan ini.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

1 Komen

  1. Kalau ikut perlembagaan dan pendaftaran parti
    Dakwa je….yang lompat

    Pengkhianat negara lagi dasyat daripada zaman 1511

Comments are closed.