Orang ramai membeli barangan keperluan pada saat-sat akhir menjelang Hari Raya Aidilifitri yang diraikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berikutan penularan Covid-19 di pasaraya ST Rosyam Mart, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru orang ramai agar tidak lupa terhadap amalan kawalan kendiri dan penjarakan sosial ketika membeli barang keperluan harian.

“Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 50 premis perniagaan seluruh negara tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berdasarkan pemeriksaan khas yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam sebanyak 1,653 premis mematuhi SOP.

Dalam pada itu beliau menambah, antara kesalahan ingkar PKP masih dilakukan adalah aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 62,386 pemeriksaan semalam (17 Julai 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“PDRM telah menahan 14 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 3 individu telah direman dan 11 individu dijamin.Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP,” kata beliau. -MalaysiaGazette