Tan Sri Annuar Musa. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia pada Rabu lalu.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses memilih calon akan berjalan seperti biasa yang akan ditentukan dalam mesyuarat BN Perak.

Bagaimanapun jelas beliau, perkara itu akan diputuskan selepas tujuh hari sebagai menghormati allahyarham yang baru meninggal dunia.

“BN Perak akan bermesyuarat dan mengemukakan beberapa nama sebelum  Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan membuat pemilihan.

” Namun yang pasti BN akan hantar calon. Walaupun calon datang dari BN namun kita akan berunding dengan Pas atas nama Muafakat Nasional dan juga Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) kerana kita sekarang berada di bawah kerajaan Perikatan Nasional,” katanya pada sidang media selepas program turun padang di Pasar Raja Bot di sini hari ini.

Rabu lalu, Allahyarham Khusairi meninggal dunia di Hospital Bentong selepas mengadu mengalami masalah kesukaran bernafas.

Khusairi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas menewaskan calon Bersatu dan Pas dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Sementara itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memaklumkan wakil UMNO, Bersatu dan Pas akan hadir mesyuarat secara formal Isnin ini.

“Mesyuarat tersebut antara lain akan membincangkan isu negara melalui pembentukan kerajaan yang kuat dan boleh melaksanakan agenda-agenda membela rakyat.

“Kita tak mahu terlalu banyak berpolitik kerana terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Jika politik tak stabil, kalau pemimpin banyak idea namun idea itu tak boleh dilaksanakan kerana masalah ketidaktentuan, maka rakyat yang akan rugi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast