KUALA LUMPUR – AirAsia telah melancarkan promosi istimewa potongan harga 50 peratus untuk penerbangan pulang dengan tempahan penerbangan pergi balik berikutan permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat.
Tawaran ini tersedia untuk mana-mana penerbangan domestik Malaysia yang ditempah antara 20 Julai dan 24 Julai 2020 untuk tempoh perjalanan dari 4 Ogos sehingga 6 Disember 2020.
Tempahan boleh dibuat di airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih AirAsia.
Para penumpang juga boleh menikmati lebih penjimatan dan kemudahan apabila mereka menempah pakej penerbangan dan hotel melalui SNAP.
Tambang penerbangan pergi balik beserta penginapan hotel selama 3 hari, 2 malam tersedia daripada serendah RM249 untuk seorang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
Antara hotel yang boleh ditempah di Pulau Pinang termasuklah Vouk Hotel Suites, Cititel Penang, Tropics Eight Suites dan banyak lagi.
Ketua Komersial AirAsia, Amanda Woo berkata, tinjauan pasaran yang kami lakukan menunjukkan permintaan perjalanan yang semakin meningkat sebaik sahaja keadaan bertambah baik.
Carian penerbangan di laman web juga telah meningkat lebih daripada 150% sejak kami memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
AirAsia turut meningkatkan kekerapan penerbangan domestik untuk memenuhi permintaan ini.
“Pada bulan Ogos, kami telah menjadualkan lebih 30 peratus frekuensi tambahan penerbangan berbanding bulan Julai, berjumlah lebih 600 penerbangan mingguan ke 16 destinasi di Malaysia dan 70 peratus daripadanya adalah penerbangan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, di mana Kota Kinabalu, Kuching dan Tawau adalah destinasi teratas.
“Kami akan terus meningkatkan kapasiti dan melancarkan lebih banyak tawaran menarik supaya semua orang boleh terbang dengan tambang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette