KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka sinergi bagi mewujudkan Program Sportspreneurship untuk para atlet membuka peluang kerjaya terutamanya dalam bidang keusahawanan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Maican berkata, ia merupakan satu usaha melalui inisiatif kolaborasi rentas kementerian dan agensi seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Untuk jangka masa pendek, bersesuaian dengan cabaran dan suasana ekonomi semasa, pusat atlet perlu diberikan pemerkasaan dan pemantapan yang lebih kukuh dan menyeluruh.
“Elemen keusahawanan, ekonomi gig dan ekonomi digital boleh menjadi ikhtiar baru dan terkini untuk membantu atlet dan bekas atlet,” katanya
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit (Mertajam-DAP), Sim Chee Keong pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Chee Keong mahu mengetahui rancangan kukuh dalam jangka masa pendek dan panjang untuk memberi sokongan kepada atlet dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
Terdahulu, Reezal memberitahu, laluan kerjaya atlet turut diberikan tumpuan bagi atlet-atlet yang bakal bersara melalui “Athlete Track Programme”.
Katanya, Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat swasta serta agensi-agensi kerajaan yang bakal menyediakan peluang pekerjaan nanti.
Tambah beliau, sehingga kini, sejumlah 16 organisasi atau syarikat yang sedia membantu menerima atlet untuk diberi peluang kerjaya sama ada secara sambilan mahupun sepenuh
masa. – MalaysiaGazette