Tekun Nasional

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan sebanyak 25,660 permohonan melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (Covid Business Recovery Micro – CBRM) kendalian Tekun Nasional bagi membantu peniaga yang terkesan dengan impak Covid-19.

Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM195.97 juta, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensi di bawahnya iaitu Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, UDA Holdings, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan usahawan mampu bertahan dalam menghadapi impak Covid-19.

“Antara inisiatif yang diambil dan dilaksanakan oleh MEDAC menerusi agensi di bawah kementerian ialah penyediaan pembiayaan kepada usahawan, penjadualan semula pinjaman, penangguhan bayaran balik atau moratorium pinjaman, latihan serta bimbingan keusahawanan secara dalam talian dan pelaksanaan program berimpak tinggi.

“Inisiatif yang ditawarkan agensi MEDAC ketika penularan wabak Covid-19 melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro sebanyak 25,660 permohonan sejumlah RM195.97 diluluskan setakat 17 Julai lalu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Pasir Puteh-Pas), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang ingin meminta MEDAC memperincikan perancangan untuk memastikan PKS dapat melindungi pendapatan dan mampu bertahan sebagai antara pemain utama ekonomi pasca Covid-19.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, Skim Special Relief Facility yang ditawarkan oleh SME Bank ada menawarkan pembiayaan perniagaan sehingga RM1 juta untuk tempoh 5.5 tahun kepada PKS dan sehingga 17 Julai lalu sebanyak 940 permohonan disalurkan dengan nilai sebanyak RM503.04 juta.

Sebagai langkah memastikan usahawan dapat terus bertahan, Wan Junaidi berkata, pihaknya membangunkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang mengandungi 29 program jangka pendek dan sederhana di bawah enam strategi yang dilaksanakan dalam tempoh bermula Mei 2020 hingga Mei 2021 yang dijangka akan memanfaatkan lebih 20,000 penerima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast