KUALA LUMPUR – Sejumlah 320 projek dana pemudah cara bernilai RM14.23 bilion telah diluluskan kerajaan setakat ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek-projek berkenaan berjaya mencipta aktiviti ekonomi berjumlah RM232.48 bilion.
Jelasnya, di bawah dana pemudah cara yang diwujudkan untuk membuatkan penyertaan yang lebih besar sektor swasta, sejumlah RM20 bilion telah digunakan untuk memangkin pelaburan sektor swasta dalam sektor-sektor strategik negara.
“Daripada jumlah RM20 bilion yang telah diperuntukkan, RM5 bilion digunakan untuk pengambilan alih tanah manakala baki RM15 bilion boleh digunakan untuk membantu sektor swasta membiayai projek.
“Dana tersebut juga disasarkan untuk membantu mengurangkan jurang sektor swasta dengan projek berkenaan yang mempunyai impak strategik dan kesan ekonomi berganda,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di persidangan maya Invest Malaysia 2020 siri kedua hari ini.
Tambah Mustapa, melangkah ke hadapan, kerajaan akan menyemak semula pendekatan yang digunakan untuk dana pemudah car aitu.
Ini bagi memastikan langkah-langkah yang digunakan mampu menyumbang ke arah pembangunan ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette