PUTRAJAYA- Pasangan muda, M. Salambarasan, 27, dan P. Tinakary, 26, yang baru sahaja melangsungkan pendaftaran perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terkejut apabila menerima tetamu tidak disangka.
Kedua-dua jejaka yang baru sahaja mahu melangkah ke alam rumahtangga terkejut apabila bukan sahaja menerima kehadiran mengejut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Hamzah mengadakan lawatan kerja rasmi julungkali ke JPN hari ini.
Pasanganyang masing-masing dari Kajang dan Seremban itu menerima kehadiran Hamzah ketika mahu mengangkat sumpah dan mendaftarkan perkahwinan dengan dua saksi iaitu ibu bapa masing-masing dengan seorang pendaftar JPN.
Ketika itu Hamzah yang ditemani Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sedang memantau bahagian pendaftaran perkahwinan yang diaturkan melibatkan dua keluarga iaitu keluarga Cina dan India.
Beliau mengambil kesempatan mendekati pasangan bertuah itu dan menjadi seakan turut menjadi saksi kepada majlis pendaftaran perkahwinan mereka.
Dengan disaksikan Hamzah, pasangan itu melafazkan ikrar supaya setia sebagai suami isteri dalam kehidupan baharu itu.
Hamzah selepas menyaksikan pasangan itu menandatangani sijil pendaftaran perkahwinan disusuli ibu bapa dan pendaftar berkenaan sebelum mengucapkan tahniah pasangan itu disusuli nasihat.
“Tahniah, mulai hari ini kamu berdua adalah suami isteri di sisi undang-undang.
“Saya berharap kamu berdua yang baru melangkah ke dunia rumahtangga sebagai suami isteri, sentiasa kekal saling sayang menyayangi dan setia sepanjang hayat.
“Sudah pasti perkahwinan anda hari ini menjadi bersejarah dihadiri dan disaksikan seorang menteri sendiri. Setem yang saya hadiahkan ini akan terus menjadi memori hidup anda berdua dan simpan elok-elok ya,” katanya kata Hamzah ringkas sebelum menyerahkan sijil perkahwinan mereka dan setem JPN sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Silambarasan yang merupakan pakar teknologi maklumat di sebuah syarikat perisian tidak menjangka kunjungan menteri ke pendaftaran perkahwinan mereka yang akan menjadi kenangan manis.
Begitu juga perasaan Tinakary serta ibu bapa kedua dua pihak yang tidak dapat meluahkan kegembiraannya dengan kehadiran menteri ketika ditemui MalaysiaGazette.
“Kami berdua memang tak sangka menteri akan hadir saksikan pendaftaran perkahwinan kami pagi ini. Saya sudah terkejut dan tiada kata-kata selepas melihat Datuk Seri (Hamzah) berdiri hadapan semasa kami lafazkan ikrar setia dan menandatangani sijil kahwin.
“Beliau tidak kata apa apa cuma ucapkan selamat pengantin baharu dan harapkan majlis perkahwinan kami menjadi bersejarah dan jadi memori indah untuk kami dengan kehadirannya,” ujarnya.-MalaysiaGazette