Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Situasi tenaga buruh di Malaysia dalam jangka pendek dianggar bertambah baik pada Jun tahun ini dengan pasaran buruh akan terus mengukuh dalam tempoh sederhana sehingga separuh kedua 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Saravanan berkata, perkara itu terbukti apabila Jabatan Perangkaan mendapati sehingga 2 Jun lalu, kira-kira 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja sudah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pekerja pada 17 Mei lalu.

Katanya, ia adalah hasil pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan oleh kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu, selain lebih banyak perniagaan dibenar beroperasi selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Mei yang menyumbang kepada penurunan bilangan penganggur.

“Tambahan pula, setelah PKP Pemulihan mula berkuatkuasa pada 10 Jun lalu, keadaan ekonomi sudah memperoleh kembali momentum.

“Seterusnya ia dijangka dapat mengekalkan pekerjaan, mewujudkan pekerjaan baharu dan mendorong pengambilan pekerja,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (Port Dickson-PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin kerajaan menyatakan unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun, selain langkah yang diambil kementerian dalam mengatasi lonjakan kenaikan kadar pengangguran terkini.

Dalam pada itu Saravanan berkata, menyedari bebanan yang dihadapi rakyat kerajaan telah melaksanakan pakej-pakej rangsangan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Eknomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin PKS Tambahan yang telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300,000 syarikat.

Ujarnya, bagi mengelak pemberhentian pekerja secara besar-besaran dan memastikan daya tahan majikan terus kekal pula, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan sekali lagi suntikan rangsangan untuk memulihkan negara. – MalaysiaGazette