Abdul Rahim Jaafar. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menggesa kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka untuk menikmati elaun khas kepada pegawai dan anggota polis marin sebanyak RM500 sebulan.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, bayaran elaun khas itu tidak pernah dinikmati jabatan tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1947 berbanding Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bayaran insentif pasukan polis marin sebanyak RM500 yang kita minta, tidak pernah menerima sebarang elaun khas sejak 1947 hingga sekarang.

“Sejak ia diwujudkan 1947, tak pernah terima elaun khas ini melibatkan 2,270 pegawai marin dengan implikasi kewangan sebanyak RM13 juta,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, PDRM memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada anggota polis berulang alik dari kediaman ke tempat bertugas.

“Pada hari ini, elaun yang sama telah diperoleh oleh ATM sejak lama dahulu. PDRM tak pernah dapat.

“Elaun ini untuk mereka yang tak diberi peruntukan perumahan polis terpaksa duduk di luar menyewa jauh, kita minta supaya diberikan elaun dari tempat kediaman ke tempat bertugas.

“Di mana kadarnya antara RM100 hingga RM200 yang kadar ini sudah lama dinikmati oleh pihak ATM,” katanya.

Katanya lagi, masalah perumahan polis bukan perkara baharu malah perutukan sedia ada tidak mampu menampung kesemua anggota polis di seluruh negara.

“Perumahan polis hanya diperuntukkan lebih kurang 62,000 rumah sedangkan keanggotaan kita 124,000 orang.

“Kita harap sangat sebab masalah kediaman ini terutama bandar-bandar besar ini merupakan satu masalah yang besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast