Datuk Mohd Hatta Md Ramli

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya mencari kaedah untuk menyerap doktor-doktor yang berstatus kontrak kepada perjawatan tetap.

Ia adalah bagi menghargai pengorbanan mereka yang telah bekerja keras dalam membantu negara dalam merawat pesakit yang dihadapi wabak Covid-19, kata Ahli Parlimen (Lumut,-PH), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Menurutnya, kesungguhan sebagai petugas barisan hadapan ketika berdepan pandemik itu jelas menunjukkan kewibawaan mereka walaupun masih berstatus kontrak.

“Mereka tidak ada peluang dalam sistem kontrak untuk menjalani latihan kepakaran secara khusus.

“Mungkin langkah ini langkah sementara (lantikan kontrak) namun sumbangan mereka ketika Covid-19, adalah baik kerajaan membantu menyediakan pekerjaan tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Hatta menambah, walaupun doktor lantikan kontrak adalah bersifat sementara, namun, langkah itu hanya mengekang mereka untuk menjalani latihan kepakaran.

Ujarnya, adalah lebih baik agar jasa dan pengorbanan mereka itu dihargai dengan cara sedemikian kerana ia sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit kelegaan kepada golongan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast