Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak termasuk individu, keluarga mahu pun masyarakat supaya sentiasa menasihati antara satu sama lain supaya terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19.

Tegasnya, di bawah fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), setiap individu, keluarga dan masyarakat berperanan sebagai petugas hadapan.

“Ibu-bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain- lain. Ingatkan mereka setiap hari.

“Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita.

“Di tempat kerja, majikan mesti sentiasa ingatkan pekerja supaya patuhi SOP yang ditetapkan. Sentiasalah pantau pekerja anda. Letakkan notis atau peringatan mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat.

“Di sekolah, pengetua, guru besar, guru-guru, pengawas dan ketua kelas perlu memainkan peranan yang lebih proaktif. Ingatkan murid-murid dan rakan-rakan anda supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Saya juga nak mengingatkan ketua-ketua Kampung, imam-imam dan Ketua Komuniti supaya jaga komuniti masing-masing. Ketua kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa kampung misalnya boleh buat lawatan atau rondaan ke tempat-tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk kampung masing-masing.

“Sama ada di kedai kopi, restoran, pasar pagi atau kedai-kedai menjual barangan keperluan harian. Nasihati mereka supaya memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial,” katanya semasa menyampaikan perutusan khas hari ini.

Tambah Muhyiddin, sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, rakyat Malaysia dapat melalui fasa PKPP dengan jayanya.

Tambahan pula rakyat telah melihat sendiri kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat semasa pelaksanaan tempoh PKP yang lalu.

“Ekonomi negara kita telah mula rancak kembali dan kita juga telah dapat menikmati semula kehidupan kita dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik Covid-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast