Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu, Nasrudin Hassan tiba bagi memulakan hari pertama di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 20 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu, Nasrudin Hassan memberi jaminan tidak akan merombak struktur agensi gerakan dakwah itu melibatkan cara kerja, logo dan warna uniform.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, tindakan merombak sesebuah organisasi sebaik diambil alih mencerminkan sikap pemimpin yang tidak cerdik.

Sebaliknya bekas Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, perkara yang baik perlu diteruskan dan digabungkan dengan idea kepimpinan baharu.

“Sebagai orang baharu, saya menggunakan ungkapan dalam transisi iaitu integrasi warisan yang sahih dan penemuan yang bermanfaat.

“Kita tidak perlu merombak sebaliknya kena terus yang baik dan gabung perkara baharu yang bermanfaat.

“Yang lama yang baik wajar diteruskan dan bukan tukar cara, logo dan warna baju kerana itu bukan pemimpin yang cerdik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena hari pertama bertugas di Yadim di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, sebarang perubahan atau tambah nilai agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu memerlukan mesyuarat kerana gerakan dakwah melibatkan banyak segmen.

Jelas beliau, segmen tersebut meliputi bukan Muslim, saudara baharu dan umat Islam itu sendiri.

“Ia juga melibatkan ancaman hari ini terhadap Islam berfahaman liberal untuk membetulkan persepsi bagaimana Islam yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Nasruddin memberitahu hampir keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah Yadim akan ditukar sebagai satu proses biasa apabila melibatkan perubahan kerajaan.

Jelas beliau, lantikan baharu itu hampir siap dan senarai rasmi akan diumum tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast