Jabatan Kesihatan Perak mengenal pasti wanita yang gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta restoran yang dikunjunginya di bandar Meru Raya di sini, baru-baru ini.-Gambar FB

SUNGAI SIPUT – Jabatan Kesihatan Perak mengenal pasti wanita yang gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta restoran yang dikunjunginya di bandar Meru Raya di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata JKN Perak masih mengumpul maklumat terperinci berhubung insiden itu yang tersebar di media sosial sejak semalam.

“Saya nasihatkan orang ramai yang pernah makan di kafe itu mengambil langkah berjaga-jaga dan sekiranya bimbang mereka boleh membuat ujian Covid-19 atau menjalankan kuarantin di rumah jika bergejala,” katanya selepas menyaksikan pemindahan gajah liar di Kampung Jalong di sini, hari ini.

Semalam, gambar seorang wanita yang memakai tag merah jambu menunjukkan dia masih dalam tempoh kuarantin di rumah, minum di sebuah kafe di bandar Meru Raya tersebar di media sosial dan mendapat kritikan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata pihaknya sudah melakukan operasi sanitasi nyahcemar kuman di premis itu dan beberapa kedai dalam deretan sama.

Katanya, operasi sejam setengah yang bermula 2.30 petang tadi melibatkan 6 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru.

“Fokus operasi sanitasi nyahcemar kuman adalah di tempat melibatkan banyak sentuhan seperti meja dan kerusi.”- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast