Pelajar dari keluarga B40 dan pemegang kad OKU dikecualikan pembayaran kos kuarantin.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bermula Jumaat ini semua rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang dari luar negara perlu mematuhi kuarantin wajib selama 14 hari di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

Perkara itu, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan prosedur operasi standar (SOP) kuarantin di rumah yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

”Kerajaan mendapati masih terdapat individu yang melanggar SOP dan peraturan kuarantin wajib di rumah dan sikap degil mereka ini mengundang risiko penularan tempatan,” katanya.

Tegasnya, tindakan mereka ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan kompaun RM1000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan.

Tambahnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai stesen kuarantin.

Susulan keputusan ini, warga asing atau rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia tidak lagi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan.

Dari 10 Jun sehingga 20 Julai 2020, seramai 22,480 orang telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Daripada jumlah itu, sebanyak 22,402 individu telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah dan 78 lagi dibawa ke hospital.

Pada 20 Julai 2020, sebanyak 403 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan klia2 dari United Kingdom, Indonesia, Qatar, Singapura, Pakistan, Jepun, China dan Thailand.

Kesemua 403 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, mesyuarat khas itu juga pada dasarnya bersetuju supaya pelancong kesihatan dari negara Kategori Hijau iaitu Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand dibenarkan memasuki Malaysia menggunakan pesawat komersial bagi mendapatkan rawatan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, ianya adalah tertakluk kepada perbincangan bersama di antara pihak Kementerian Luar Negeri dan negara terbabit berkenaan kebenaran pergerakan rentas sempadan negara masing-masing.

Mereka yang terlibat perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di Lapangan Terbang dan mereka akan terus dibawa ke hospital untuk rawatan. – MalaysiaGazette