Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggubal akta baharu untuk meningkatkan keberkesanan dalam aspek pemberian khidmat rawatan dan pemulihan dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perundangan baharu itu akan dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan 2020 yang bakal menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).

Katanya, beliau menaruh keyakinan akta baharu itu berupaya meningkatkan capaian kepada rawatan dan pemulihan dadah, selain membantu kadar pemulihan dalam kes penyalahgunaan dadah.

“Keputusan mesyuarat ini akan diangkat kepada Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kelulusan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Hamzah sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) yang turut dihadiri beberapa wakil kementerian.

Mengulas mengenai pembentangan pertimbangan kedua pada mesyuarat berkenaan, Hamzah berkata, cadangan pindaan Akta Racun 1952 akan ditangguh bagi memberi ruang kepada penubuhan dua jawatankuasa teknikal yang dianggotai pelbagai kementerian.

“Mesyuarat bersetuju supaya undang-undang dan penguatkuasaan berkaitan penanaman apa-apa tumbuhan psikoaktif, termasuk kratom atau ketum perlu diperketatkan.

“Satu pendekatan yang lebih menyeluruh perlu diambil merentasi kementerian, justeru kita akan tangguhkan pindaan Akta Racun 1952.

“Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang akan dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“Jawatankuasa Teknikal Kajian Saintifik dan Komersial pula akan membabitkan keanggotaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette