Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini diminta terus menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan mana-mana premis dan individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Manakala Task Force Operasi Pematuhan PKPP akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat semalam, polis telah menahan 80 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah direman dan empat lagi dijamin manakala 56 individu dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (37) dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (43).

Kelab malam dan pusat hiburan masih dalam dalam senarai aktiviti dilarang.

Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan dan pemantauan di sebanyak 3,806 pasar raya, 5,452 restoran serta 1,273 penjaja, 1,193 kilang, dan 1,973 pasar awam/tani telah diperiksa. Turut diperiksa, 3,591 tempat ibadah serta 1,555 tempat riadah.

Sehubungan itu, Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kelab-kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh PKPP.

Ini termasuk tindakan menggantung lesen perniagaan, katanya. – MalaysiaGazette