Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim (tengah) menunjukkan kawasan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Presint 9, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Buat julung kalinya Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menyediakan lokasi khas untuk mana-mana pihak melaksanakan ibadah korban yang bakal berlangsung 31 Julai ini, bersesuaian dengan amalan norma baharu.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, sebanyak enam lokasi telah dipilih bagi aktiviti penyembelihan untuk tempoh tiga hari mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Sebelum membuat keputusan pemilihan semua lokasi, pihaknya telah membuat kajian tentang kesesuaian lokasi bersama-sama wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Kita ada enam lokasi yang telah kita kenal pasti. Lokasi ini dipilih atas faktor jauh dari punca air, boleh menanam sisa korban dan faktor-faktor yang perlu diamalkan seperti  yang dinyatakan MKN,” katanya ketika melakukan lawatan ke salah satu lokasi ibadah korban di Depo Penguatkuasa PPj hari ini.

Menurut beliau, antara syarat yang ditetapkan oleh PPj adalah jumlah petugas penyembelihan tidak melebihi 30 orang di samping tempoh masa yang diambil ialah 5 jam atau kurang daripada itu.

“Di situ (di setiap lokasi) hanya akan ada satu pintu masuk dan satu pintu keluar.

“Penyembelihan dibenarkan berlangsung untuk dua sesi iaitu pagi dan petang dan satu kawasan lebih kurang 45 penyembelihan boleh dilakukan sehari itu,” katanya.

Tanpa sebarang bayaran dikenakan oleh PPj, penganjur ibadah korban ujarnya hanya perlu membuat permohonan menerusi atas talian di www.ppj.gov.my dan di platform media sosial sehingga 28 Julai 2020.

Borang juga boleh didapati di Bahagian Kesihatan Persekitaran dan Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, PPj tidak melarang mana-mana pihak membuat ibadah korban di surau atau masjid di kawasan Putrajaya, namun perlu terlebih dahulu memaklumkan kepada pihaknya bagi mendapatkan kelulusan.

“Masjid dan surau kena maklumkan kepada PPj dan PPj buat penelitian dan siasatan bagaimana dilaksanakan secara teratur,” tambahnya.

Beliau memaklumkan, setakat jam 10 pagi hari ini, sebanyak 11 permohonan yang dibuat melibatkan penyembelihan 87 ekor lembu, 10 kambing dan empat kerbau. – MalaysiaGazette