Gambar hiasan

PEMAKAIAN tudung dalam kalangan wanita Melayu silam pada peringkat awal keislaman hanya mengenakan sehelai kain pelekat atau kain tenunan yang besar untuk menutupi bahagian kepala sehingga ke dada. Kain ini akan dipegang di bahagian bawah dagu menjadikan ia kelihatan seperti tudung atau jilbab namun warnanya tidak terlalu gelap atau hitam seperti kebanyakan wanita Islam di Asia Barat.

Penampilan ini dijelmakan juga dalam cerita-cerita Melayu klasik pada tahun 1950- an dan 1960- an (Norhani Abdullah, 1994). Amalan bertudung merupakan sebahagian pakaian peradaban Melayu Islam yang kekal sehingga kini walaupun berhadapan dengan pelbagai ranjau berbanding pakaian tradisi Melayu iaitu ‘Baju Kurung’.

Perkataan selendang, kerubung, purdah, mini telekung, kelumbung, selubung, selayah, layah, burka, berguk, merguk, cedak, undung-undung, tukup, tutup kepala dan scarf merupakan antara nama-nama lain bagi merujuk kepada pemakaian tudung (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Kedua).

Tudung menjadi simbolik kebudayaan tinggi perempuan Melayu selepas menerima cahaya Islam. Dalam hal ini, Muhammad Razak Idris (2010), menyatakan, “Pemakaian hijab atau menutup aurat adalah salah satu dari produk peradaban Islam dan merupakan jelmaan prinsip dan nilai ajaran keagamaan iaitu penampilan watak yang sopan, halus dan sederhana. Tambahan lagi, pemakaian hijab ini bukan semata-mata untuk memenuhi perintah ibadah tetapi juga suatu bentuk penonjolan syiar peradaban Islam.”

Justeru, perempuan Melayu menjadikan baju kurung dan bertudung sebagai pakaian tradisi turun-temurun masyarakat Melayu Islam sejak tercetusnya proses iIslamisasi di Tanah Melayu. Berpakaian sempurna menutup aurat telah menjadi keutamaan kepada lelaki dan perempuan Melayu Islam sejak itu.

Ludovico Di Varthema dalam The travels of Ludovico di Varthema in Egypt, Syria, Arabia Deserta and Arabia Felix, in Persia, India, and Ethiopia, A.D. 1503 to 1508 mencatatkan etika berpakaian bagi wanita Melayu era itu sebagai berikut: “…Their dress is after the fashion of Cairo… Crawfurd describes the Malays as a brown-complexioned, lank- haired people, of a squat form, with high cheek-bones, large mouth, and flattened nose…” Beliau juga menyebut, “…With regard to costume, I had frequent opportunities, during my long residence at Aden, of seeing many Malay merchants on their way to Meccah, who were generally dressed like the same class in Syria and Egypt.”

Mohd Hasanuddin bin Mohd Yusof (28 Februari 2018), Pengarah Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara menulis tentang pakaian wanita Islam ketika zaman KesultananCMelaka, dimana beliau merumuskan, “Maka tidak hairanlah jika pelayar Itali yang bernama Ludovico Di Varthema yang datang ke Melaka sekitar tahun 1506 Masihi mencatatkan pakaian orang-orang Melayu ketika zaman Kesultanan Melaka agak menyerupai pakaian orang-orang Kaherah. Catatan ini boleh jadi merujuk kepada kaum wanita di pasar-pasar Melaka kerana Tome Pires juga mencatatkan bahawa ramai wanita yang berdagang di pasar-pasar di Kota Melaka.”

Pakaian menutup aurat berbaju kurung dan bertudung terus diamalkan walaupun terjajah oleh kuasa-kuasa Eropah. Dalam Teks Umat Melayu yang dikarang oleh Salih Jaudat (1908), mencatatkan perihal etika berpakaian wanita Melayu era itu sebagaimana berikut, “Wanita mereka memakai sarung (daripada sutera yang berwarna-warni bagi berada seperti yang dipakai di bahagian bawah oleh Rahib). Sarung yang serupa diletakkan di atas kepala mereka yang menutup hingga ke dahi. Kain mereka ditinggikan di atas kedua-dua lengan, setara dengan sisi pipi. Kedua-dua tepinya dipegang dengan tangan mereka lalu diketatkan sehingga terlindung wajah mereka. Anda tidak dapat melihat wajah mereka kecuali sepasang matanya. Kain mereka menyerupai sesetengah bangsawan Mesir.”

Joyce, Thomas Athol dalam catatannya dari tahun 1878 hingga 1942 menulis bahawa kain sarung merupakan pakaian tradisi orang Melayu. Menurutnya wanita Melayu mengenakan kain sarung sebagai penutup kepala apabila keluar rumah dan hanya menampakkan sepasang mata untuk melihat sekeliling. “….Out of doors, the Malay women frequently wear as a veil either a thin cloth or piece of chintz, or two sarongs, one fastened round the waist in the usual manner and the distended by means of the stretched arms, so as to leave nothing but a narrow slit in for the eyes.” Demikian, dapat ditemukan catatan tentang pemakaian sarung sebagai kain tudung bagi wanita Melayu oleh McNair, John Frederick Adolphus, 1828-1910 (1878), “…..the second sarong is thrown over the head, and drawn out, leaving a narrow slit for the eyes.”

Windstedt R.O (1923) juga mencatatkan tatacara pemakaian serupa wanita Melayu sebagaimana berikut: “The Malay woman wears a skirt like a man’s but down to her ankles, and the most popular type of lady’s jacket, which reaches to the knees, bears a Portuguesene name. Over her head she wears another sarong, or scarf or mantilla….” Pakaian tradisional wanita Melayu Islam sebelum Perang Dunia Pertama adalah kain sarung, baju labuh dan tudung kepala (Shorga Dunia, 1 September 1936; Utusan Zaman, 21 Januari 1940).

Meskipun dekad 1960an dan 1970an menyaksikan masyarakat kita dipengaruhi oleh pakaian ala Barat, cara pemakaian wanita Melayu-Islam di Malaysia mula berubah pada tahun-tahun 1970-an dan seterusnya. Hal ini kerana kemunculan gerakan-gerakan dakwah yang aktif di universiti, seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sebagai sebuah Gerakan Ilmu dan Bakti, ABIM dikenali kerana kelantangan serta keberanian para pimpinannya dalam memperjuangkan isu-isu rakyat terbanyak. Slogan ‘Islam sebagai cara hidup’ mendekatkan masyarakat kepada kefahaman serta penghayatan terhadap keindahan nilai-nilai Islam.

Prof. Dr. Khalijah Salleh, Setiausaha Wanita ABIM (Ketua HELWA 1973-1974 ABIM) menukilkan bahawa, “Saya masih ingat kenangan ketika mula-mula mempelopori pemakaian tudung kepala bersama beberapa orang rakan. Hasrat ini timbul setelah membaca Al-Quran. Semasa itu hasrat untuk mengamalkannya begitu mendalam. Bagaimanapun pada peringkat awal, kami mendapat tentangan kuat daripada pelbagai pihak yang tidak menyenanginya.”

Beliau menambah, “Kami banyak kali disindir dan digelar dengan bermacam-macam gelaran seperti ‘orang pakai dakwah’, ‘hantu bungkus’ dan sebagainya. Alhamdullilah, dalam hal ini kami mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pendidikan. Kini pemakaian tudung tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik bagi kaum wanita di Malaysia, malah majoriti wanita Melayu dan Islam mula menyedari keperluan dan tuntutan memakai tudung ini.”

Sesungguhnya, wanita-wanita Melayu moden yang memakai selain baju kurung dan berkain batik seperti gaun, seluar ketat, baju ketat dan baju pendek tanpa lengan tidak cocok untuk jati diri orang Islam. Tatacara berpakaian moden itu kurang pantas dengan jiwa Melayu Muslim yang utuh nilai-nilai keislaman dalam diri.

Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah (Hadith Riwayat Muslim). Hadith tersebut menunjukkan kepada kita bahawa sebagai seorang Muslim haruslah menjaga keimanan kita dengan cara menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Sewajarnya, seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar. Antara hikmah yang disarankan supaya berpakaian sopan dan menutup aurat dengan sempurna ialah supaya seseorang individu itu sentiasa dilindungi daripada fitnah manusia, jiwa semakin tenang, di samping merupakan salah satu medium dakwah secara langsung dengan masyarakat tanpa disedari, insya-Allah.

Oleh: Faridah Mohd Tap, Naib Yang Dipertua (HELWA) ABIM Negeri Sembilan.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast