Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Dua kluster baharu yang dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor dan dua pesawat masing-masing dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kuching selepas enam individu positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, salah satu kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Hyde Park itu melibatkan seorang krew kapal bukan warganegara iaitu dari Rusia.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Mesir dan India. Kluster ini telah dikenalpasti susulan saringan Covid-19 yang telah dijalani oleh krew kapal tersebut sebelum pulang ke negara asal.

“Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, keseluruhannya 24 orang telah disaring, di mana empat daripadanya positif Covid-19, manakala 20 lagi adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesemua kes positif dalam kluster ini melibatkan bukan warganegara dan mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di kapal tersebut.

“Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster PUI Melbourne melibatkan seorang pelajar warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8749) yang pulang dari Australia pada 15 Julai lalu.

“Beliau telah menaiki dua pesawat dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Dari Pintu Masuk Umum Kuching, Sarawak, beliau seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan Covid-19 didapati positif pada 17 Julai 2020.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini di mana kes kedua ini telah menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua (2) kes positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Seramai 21 orang kontak rapat yang terdiri daripada penumpang dari pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan telah disaring dan masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette