Datuk Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Tiada sesiapa pun termasuk pemimpin politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang akan terlepas daripada disiasat atau dihukum jika mencetuskan perbalahan antara kaum.

Perkara itu ditegaskan, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique apabila memberitahu, langkah segera akan dilaksanakan jika pihak berkenaan sengaja mencetuskan provokasi dengan tidak mengira latar-belakang.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Jelebu-BN), Datuk Jalaluddin Alias yang ingin tahu sama terdapat tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pemimpin sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang yang mencetuskan perbalahan antara kaum.

Mengulas lanjut, Halimah menegaskan ahli politik atau sesiapa sahaja jika mencetuskan provokasi boleh disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan di bawah Akta 574 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak kementerian tetap mahu menggunakan kaedah yang lebih menyemarakkan suasana perpaduan tanpa menekan masyarakat melalui perundangan yang ada.

“Sebab itu kita menggalakkan kaedah mediasi komuniti untuk menangani segala pertelingkahan, pertikaian dan persengketaan yang ada dalam komuniti,” ujarnya. – MalaysiGazette