SHANGHAI – Sebuah pesawat kargo Boeing, B777 milik Ethiopian Airlines terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai hari ini ketika kerja-kerja pemunggahan barangan sedang dilakukan, kata syarikat penerbangan itu, sambil menambah kebakaran telah dipadamkan dan tiada kru atau pekerja di lapangan cedera.

Punca kebakaran masih disiasat, kata Ethiopian Airlines dalam hantaran pada laman Facebook.

Pesawat tersebut digunakan untuk perkhidmatan kargo berjadual dari Shanghai ke Sao Paulo-Santiago, tambahnya seperti dipetik Reuters.

Gambar dan video tular pada laman media sosial China menunjukkan asap tebal keluar daripada pesawat itu dan sebagaian besar badan pesawat kelihatan hangus.

Selepas kebakaran berlaku, pesawat yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong dilencongkan ke Lapangan terbang Antarabangsa Hongqiao  di Shanghai, kata penyedia data penerbangan, Variflight. – Agensi