Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap dengan media selepas membuat lawatan ke sekitar bangunan sekolah ketika hadir Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran, Ampang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2020.

AMPANG – Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin meluluskan peruntukan segera kepada Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran bagi mengatasi tiga masalah di sekolah itu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, sejumlah RM79,000 disalurkan terus ke sekolah tersebut melalui pejabat Ahli Parlimen itu, hari ini.

“Saya luluskan sebanyak RM79,000 untuk kegunaan sekolah kerja-kerja yang mampu kita buat serta merta.

“Ia bagi membaikpulih sistem perpaipan, penambahan enam unit tandas murid memandangkan tandas ini tak cukup dan tiada penjarakan sosial, maknanya ada keperluan untuk bina lebih lagi tandas berjumlah RM24,000.

“Satu lagi bengkel Pendidikan Khas memerlukan RM20,000 dan bina tandas prasekolah tambahan murid seramai 50 orang,” katanya kepada media.

Peruntukan itu diluluskan Zuraida selepas lawatan turun padang ke Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran, hari ini.

Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha.

Selain itu, Zuraida turut mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membuka kembali laluan alternatif di atas tanah rezab yang diceroboh agar masalah kesesakan lalu-lintas di hadapan sekolah dapat diselesaikan segera.

Malah beliau turut menggesa agar dipanjangkan penukaran sistem pam paip dan mengecat bangunan sekolah kepada Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette