Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa diminta supaya menjalankan siasatan terhadap individu yang melakukan intipan tanpa kebenaran kerana ia melanggar hak peribadi seseorang ketika mereka mengadakan mesyuarat atau perbincangan.

Datuk Seri Shahidan Kasim (Arau-BN) berkata, tindakan itu perlu dibuat kerana perbincangan yang diintip dan dibawa ke Parlimen merupakan satu perkara yang belum disiasat dan menjadi satu kesalahan jika didedahkan.

Malah katanya, jika perkara itu tidak dipandang serius ia akan membolehkan sesiapa sahaja menjadi pengintip hingga boleh menimbulkan masalah kepada negara serta memudaratkan privasi seseorang.

“Hak peribadi tidak boleh diketengahkan begitu sahaja bukan persoalan yang melibatkan mahkamah tetapi sekiranya semua orang boleh mencuri hal peribadi orang lain, jadi masalah negara kita ini.

“Yang boleh berbuat demikian hanyalah polis sahaja tetapi kalau ada rakyat lain boleh berbuat demikian mengintip, kena ada peraturan boleh buat demikian.

“Saya minta supaya polis siasat kerana kita bukan berperang yang membolehkan kita untuk mengintip tetapi ini negara aman dan jika dilakukan akan benarkan untuk mewujudkan keresahan kerana kita tahu ini benda boleh didedahkan jika ada kes mahkamah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini.

Shahidan mengulas tindakan Ahli Parlimen (Bukit Gelugor-PH), Ramkarpal Singh apabila berdegil mahu memainkan rakaman audio dalam sidang Dewan Rakyat semalam walaupun tidak dibenarkan oleh Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau turut menyokong tindakan kerajaan yang mahu merujuk Ramkarpal kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ramkarpal mengadakan sidang media bagi memperbetulkan kenyataannya semalam berhubung rakaman itu yang pada awalnya dikatakan diambil pada 2009.

Bagaimanapun, pada sidang media itu beliau menyatakan tidak pasti tahun rakaman yang pernah didedahkan bapanya, mendiang Karpal Singh itu diambil sebagaimana yang dimaklumkan olehnya di Dewan Rakyat.

Beliau tuurt mengemukakan keratan hansard Parlimen dan rakaman video dari Youtube menunjukkan Karpal memainkan rakaman audio ketika sidang Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, Shahidan menggesa agar penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dipercepatkan bagi menyiasat dakwaan salah laku pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang lepas dan menjawab segala dakwaan berkaitan institusi kewangan umat Islam tersebut.

“RCI perlu dipercepatkan untuk menyiasat apa yang berlaku kepada TH dan TH tak perlu meneruskan kehidupan mereka dengan biarkan benda ini berlalu dengan tidak perbetulkan apa yang berlaku.

“Minta juga TH beli balik harta yang telah dijual kerana TH adalah hak-hak pendeposit orang Islam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Ramkarpal mainkan rakaman untuk nafi kelirukan dewan

1 Komen

  1. Segala harta TH bukan hak milik kerajaan, hak milik pendeposit, harap lepas ini TH kena keluarkan segala butiran kewangan dan dipos kepada pendeposit-pendeposit seperti yang pernah dibuat oleh PNB.

Comments are closed.