Walid Che Pah.

Marhaba.. Pertamanya Che Pah menyusun jari sepuluh kerana terlambat menghantar artikel sambungan kisah Che Pah semasa hayatnya Walid Che Pah.

Che Pah menguruskan rumah pusaka di Muar yang dilanda banjir beberapa hari lalu.

Selesai membersihkan rumah, Che Pah duduk santai di sofa lantas mengetuk key pad untuk menyudahkan cerita Che Pah.

Setelah setahun lebih Walid bergantung kepada tiub makan, Che Pah dapat merasakan kesihatan Walid semakin merosot.

Bagi mereka yang menjaga orang tua,  pasti dapat mengagak tahap  kesihatan orang tua  yang kita uruskan setiap hari.

Walid yang dulu tak putus bercakap kenangan lampau kala Che Pah bawa mengambil angin petang, kini bertukar sepi.

Walid tidak lagi berceloteh seperti biasa. Walid lebih banyak diam. Semakin risau hati Che Pah dibuatnya.

Lantas Che Pah bersuara. Bertanya mengapa Walid diam. Namun Walid menjawab, tiada apa-apa. Dan Walid kelu seribu bahasa kembali.

Pada satu petang, selesai Che Pah menuangkan susu pada tiub makan, Walid bersuara. Walid minta Che Pah buka semua pintu sliding yang bersetentangan dengan Walid.

Che Pah pelik. Hari sudah petang, mengapa pula Walid minta pintu dibuka. Lalu Che Pah terus bertanya mengapa.

Kata Walid dia mahu tengok langit. Hairan juga Che Pah kerana setahu Che Pah penglihatan Walid sudah kabur. Apa yang mahu dilihat?

Che Pah lihat Walid merenung langit. Sayu mata Walid memandang langit. Entah apa yang direnung Che Pah kurang arif.

Namun yang pastinya Walid seolah olah merenung sesuatu. Dalam sungguh renungan Walid. Kemudian Walid senyum. Renungan Walid sangat bermakna.

Pada malamnya pula Walid minta Che Pah panggilkan Abang. Kata Walid dia mahu bercakap sesuatu.

Apa yang mereka bincangkan, Che Pah kurang pasti. Che Pah lihat Abang tekun mendengar. Sesekali Abang menganggukkan kepala. Sehingga kini Che Pah tidak tahu apa yang dibicarakan.

Keesokan harinya usai Che Pah keluar menghantar stok barang jualan, Che Pah terus menghampiri Walid.

Seperti kebiasaannya, petang adalah waktu Che Pah mandikan Walid serta menukar lampin. Che Pah pimpin Walid ke bilik air.

Petang itu Walid kelihatan lain dari biasa. Kala sedang menyabunkan badan Walid, tiba-tiba kaki Walid menggigil lantas Walid rebah.

Begitu rebah, Walid terus qadha hajat. Maaf cakap, Che Pah lihat najis yang keluar banyak dan warnanya lain dari biasa.

Berderau darah Che Pah lihat keadaan yang  berlaku. Namun Che Pah cepat cepat membersihkan Walid.

Che Pah dukung Walid. Che Pah lap badan Walid dengan tuala. Sedang Che Pah menyiapkan Walid, tiba tiba Walid menangis dan bersuara.

“Terima kasih nak.. Kau dukung aku. Kau bersihkan aku'” kata Walid.

Che Pah tak berkata apa-apa. Tangan Che Pah pantas memakaikan Walid baju pagoda dan kain. Takut Walid kesejukan.

Selepas kejadian petang itu, kesihatan Walid semakin merosot. Setiap kali Che Pah menuangkan susu ke dalam tiub makan di perut Walid, susu seolah tersekat.

Perut Walid  mula menolak makanan. Susu tumpah keluar dari tiub. Che Pah jadi pelik. Semakin bimbang.

Air mata Che Pah sudah mula membasahi pipi. Che Pah cakap dengan Walid.

“Walid susu dah tak nak masuk. Kenapa ya Walid. Walid tak lapar ke,” kata Che Pah tersedu sedan. Air mata terus laju menuruni pipi.

Walid menjawab, Walid sudah tidak merasa lapar lagi. Walid senyum dan terus senyap. Walid terus hanyut dalam zikirnya.

Akhirnya Che Pah dan kakak ipar ambil keputusan membawa Walid ke bahagian kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).Tempat Walid selalu menjalani rawatan.

Keesokan paginya Walid dimasukkan ke wad. Che Pah pulang sekejap mengambil barang. Selesai mengambil barang, Che Pah pulang ke wad.

Setiba di wad, Che Pah lihat tangan Walid diikat pada katil. Rupanya Walid cuba membuka drip air. Pak cik katil sebelah menjelaskan yang Walid sering memanggil nama Che Pah. Pak cik itu nasihati Che Pah agar usah tinggalkan Walid keseorangan lagi.

Che Pah hampiri Walid. Che Pah buka ikatan pada tangan Walid. Che Pah usap dahi Walid. Kesian Walid. Che Pah kata dengan Walid yang Che Pah sudah balik. Walid nampaknya lega dan tenang.

Tiga hari sebelum Walid meninggalkan dunia yang fana, Walid panggil Che Pah duduk di tepi katil. Walid sedang berbaring.

Sambil duduk, Che Pah pegang tangan Walid. Che Pah usap kepala Walid. Walid mula menutur bicara.

“Walid ni risau. Kalau Walid tak ada nanti, siapalah yang akan tengok dan jagakan kau. Kau sorang. Adik beradik semua sudah berkeluarga,”, kata Walid memecah kesepian pagi.

Sekali lagi air mata Che Pah tidak mampu dibendung. Berderai menuruni pipi.

“Walid jika sudah sampai masanya Walid kembali kepada Allah.. Walid pulang lah. Usah risaukan orang.

“Allah ada Walid. Allah yang akan uruskan dan jaga orang. Usah Walid risau,” kata Che Pah sambil menyeka air mata yang semakin laju membasahi pipi.

“Baiklah nak. Jika begitu kata kau senanglah hati Walid. Kau jaga adik-beradik, sepupu, anak saudara serta ibu saudara. Walid yakin kau boleh buat,” tambah Walid.

Che Pah menganggukkan kepala. Che Pah lantas cium tangan Walid. Che Pah mohon ampun dari dunia sampai akhirat atas segala kesalahan dari kecil sampai dewasa terutama kala menjaga Walid.

Walid juga meminta maaf dengan Che Pah atas segala kesalahan kepada Che Pah. Kami Saling maaf memaafi diantara satu sama lain.

Lantas Walid cium dahi Che Pah tiga kali. Itulah ciuman yang terakhir dari seorang Walid yang dari benihnya berdiri Che Pah di atas muka bumi Allah ini.

Pagi terakhir Che Pah bersama Walid berlaku sekitar jam 4.30 pagi. Subuh itu Che Pah lap badan Walid dengan air berisi sabun. Che Pah istinjakkan Walid.

Che Pah lapkan sekali lagi badan Walid dengan air berisi minyak wangi. Kemudian Che Pah angkatkan wudhu. Walid waktu itu sudah koma.

Tekanan darah sudah menurun. Che Pah bisikkan ke telinga Walid minta Walid tunggu sehingga Che Pah selesai siapkan Walid.

Che Pah pakaikan baju dan kain baru untuk Walid. Baju dan kain yang biasa Walid pakai pada Hari Raya. Che Pah pakaikan Walid kufiah putih.

Selesai Che Pah siapkan Walid, Che Pah lihat Walid pun menghembuskan nafas terakhir. Walid pergi dengan tenang.

Che Pah renung muka Walid. Che Pah cium dahi Walid. Che Pah cium pipi Walid. Walid sudah kembali kepada Ilahi. Tinggalkan Che Pah sendiri.

Usai doktor memberi pengesahan, Che Pah bersama kakitangan bilik jenazah menyorong keranda Walid ke bilik pengurusan jenazah.

Che Pah dan Abang mandikan Walid. Ustaz hanya memantau. Che Pah minta izin pada Walid. Che Pah sabun badan Walid.

“Walid ini kali terakhir orang mandikan Walid. Ini kali terakhir orang usap kepala Walid. Lepas ini Walid dah tak ada untuk orang lagi,” kata Che Pah pada Walid.

Selesai dimandikan, Che Pah kafankan Walid. Che Pah sediakan kafan untuk Walid. Che Pah renjiskan minyak atar pada kafan Walid. Che Pah rapikan kafan Walid.

Selesai dikafan, saudara mara yang datang berziarah di HUKM melaksanakan solat jenazah sebelum Walid dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Bakri Batu 6, Muar.

Walid sudah pesan pada Che Pah. Walid mahu dikebumikan berdekatan Umi, isteri tercinta Walid. Che Pah sampaikan hajat Walid.

Che Pah duduk di tepi liang lahad melihat jenazah Walid dibawa turun. Kaki sudah lembik. Che Pah sudah tidak mampu untuk bersama Abang di dalam liang.

Abang azan dan iqamahkan Walid. Berderai lagi air mata ini. Sedikit demi sedikit tanah dijatuhkan ke dalam liang.

Semakin lama, jenazah Walid sudah hilang dari pandangan zahir Che Pah. Yang tinggal hanya kenangan bersama Walid yang masih basah dalam ingatan Che Pah.

Kini sudah lebih tujuh tahun Walid pergi. Selama itu juga Che Pah sendiri. Tiada lagi Walid disisi. Tiada lagi gelak ketawa kami.

Bagi awak semua, Ingatlah. Kala tiada lagi ibu dan bapa ibarat kata perginya kita tidak di hantar di muka pintu.. Pulangnya kita tiada siapa menyambut lagi.

Hargailah semasa masih ada. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ. Ana Baqir Alhabshee, from Seremban. May i know your Walid name? Marga Alhabshee jugak kan ?

Comments are closed.