LONDON – Pasukan Formula 1 Ferrari menstruktur semula bahagian teknikal berikutan permulaan buruk musim 2020 kali ini.

Ketua Jabatan Aerodimanik, Enrico Cardile akan menerajui jabatan pembangunan prestasi yang baharu diwujudkan kali ini.

Manakala Ketua Pereka Rory Byrne yang bertanggungjawab memastikan pasukan Skuderia mendominasi perlumbaan pada era 2000 diberi peranan lebih penting kali ini.

Pengerusi pasukan itu Mattia Binotto berkata, rombakan itu dibuat untuk memperkasakan perekaan dan pembangunan prestasi enjin Ferrari selepas ini.

Tindakan drastik itu menyusul selepas Ferrari memulakan musim 2020 dengan hambar apabila enjin Ferrari perlahan dari segi kelajuannya berbanding kelajuan Mercedes.

Ferrari dalam kenyataan berkata penstrukturan semula itu akan memastikan setiap individu diberi peranan masing-masing untuk membangunkan prestasi enjin Ferrari.

Kepulangan Byrne ke pasukan diyakini mampu melonjakkan dan kembali meletakkan Ferrari sebagai pasukan pesaing terkuat selepas ini.

Byrne yang berusia 76 tahun merupakan salah seorang pereka enjin terbaik dalam tempoh 30 tahun terakhir ini.

Byrne kini mengalihkan perhatian ke arah mereka enjin Ferrari untuk tahun 2022 dengan pendekatan sistem Aerodinamik yang baharu nanti.-MalaysiaGazette