Menteri Komunikasi, Saifuddin Abdullah. Foto Mohd Adzlan, 17 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Berikut adalah penjelasan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah

PENJELASAN ISU LESEN PERFILEMAN FINAS

Terdapat laporan yang tular berkaitan dengan keperluan lesen FINAS untuk perfileman berikutan jawapan saya kepada soalan yang ditujukan oleh Ahli Parlimen Kluang di Dewan Rakyat pada pagi ini (23 Julai 2020). Sebahagian daripada laporan tersebut memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan saya.

Ketika menjawab soalan itu, saya hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada tahun 1981. Akta tersebut telah digunakan selama ini, iaitu oleh kerajaan-kerajaan terdahulu, termasuk BN dan PH.

Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan. Ini telahpun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya. Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika Akta ini digubal.

Oleh yang demikian, kami di KKMM terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja Akta dibahaskan pagi tadi, malah, semua undang- undang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

 

DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH

MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

23 JULAI 2020