KUALA LUMPUR- Mahu mengubah pemikiran yang mengatakan pelaburan memerlukan wang banyak, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) memperkenalkan aplikasi Raiz.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, aplikasi mudah alih pelaburan mikro itu membolehkan pelabur melabur duit baki daripada pembelian harian secara automatik ke dalam dana harga berubah ASNB.

Jelasnya, ia adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan yang mana baki daripada perbelanjaan tersebut dilaburkan ke dalam ASNB.

Pemegang unit boleh memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kepada kad debit Maybank mereka.

Mereka kemudiannya boleh memberi kebenaran kepada Raiz untuk membundarkan setiap baki pembelian harian menggunakan kad dan kemudiannya membuat pelaburan dengan duit baki tersebut.

“Dengan pelancaran aplikasi Raiz ini dan memandangkan lebih 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar, ini bermakna hampir semua orang boleh mula melabur dengan mudah melalui kaedah ini.

“Seperti kata pepatah, ‘Sikit-sikit lama-lama jadi bukit’. Dalam era teknologi kini, kita tidak perlu lagi menyimpan duit dalam tabung syiling, sebaliknya, kita dapat melakukannya dengan Raiz,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena pelancaran aplikasi Raiz hari ini.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, produk usahasama di antara PNB dengan Raiz Invest Australia itu mendapat sambutan hangat apabila menerima 15,000 pendaftaran sejak diperkenalkan pada 1 Jun lalu.

PNB katanya, menyasarkan 60,000 pendaftaran menjelang hujung tahun ini.

Raiz Malaysia Sdn Bhd, adalah sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn Bhd (JDV) dan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest), anak syarikat Raiz Invest Limited yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).

Aplikasi tersebut dibangunkan hasil cetusan idea Ketua Eksekutif Raiz Malaysia Sdn. Bhd. Aidi Izham Mohd Khalil semasa menyertai Cabaran Inovasi PNB yang lalu.

Beliau berhasrat untuk membangunkan sebuah aplikasi mudah alih yang boleh melabur duit baki daripada pembelian harian secara automatik.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast