PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Slim, Perak pada 29 Ogos 2020 melibatlan jumlah peruntukan RM4.6 juta.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan 15 Ogos 2020 manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos 2020.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding sehingga 11:59 malam 28 Ogos (Jumaat),” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh penting PRK DUN berkenaan di Menara SPR.
Permohonan undian pos luar negara pula akan bermula pada 23 Julai sehingga 13 Ogos ini.
Menurut Azmi, Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan pada kali ini mengandungi 23,094 orang pengundi yang terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
“SPR gunakan Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih ST1/2020 yang dikemaskini sehigga 16 Julai 2020,” katanya sambil berkata, seramai 689 petugas dilantik mengendalikan proses PRK Slim nanti.
Sebanyak 13 buah Pusat Mengundi akan digunanakan yang kesemuanya mempunyai 55 saluran.
Azmi selain itu memaklumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN berkenaan yang dilantik SPR ialah Shamsul Ridzuan Idris.
Suruhanjaya tersebut dalam masa sama menubuhkan dua pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau pilihan raya sepanjang tempoh berkempen yang dianggotai pihak polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding.
Beliau memberitahu, Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
Para pengundi, boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat di portal SPR bermula 5 Ogos nanti.
Azmi berkata, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media bagi menggalakkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.
Untuk rekod, SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi berkenaan pada 17 Julai lalu berikutan penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia.
Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong pada jam 4.15 petang, 15 Julai yang lalu akibat serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.
Allahyarham dipilih menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada 2004 lalu.
Untuk rekod, pada PRU-14, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.-MalaysiaGazette
Kami tunggu PRK PARLIMEN LANBKAWI. Bila agaknya. Harap dah dekat sangat.