Pemuda berusia 28 tahun ditahan dan dadah syabu seberat 1.2 kg dan pil eramin 5 dirampas di serbuan perumahan Flat di Pantai Dalam petang semalam oleh pasukan Narkotik IPD Brickfields.-Foto Ihsan: IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang baru berkecimpung dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis bersama rampasan dadah bernilai RM55,350.

Suspek berusia 28 tahun berjaya ditahan oleh pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan flat di Pantai Dalam semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, suspek ditahan  sekitar jam 5.45 petang semalam.

“Suspek dipercayai seorang pengedar dadah yang menjalankan akiviti pengedaran dadah di kawasan flat tersebut.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan terhadap suspek polis berjaya merampas sepaket dadah disyaki Methaphemanies (syabu) sekitar 1020 gram atau 1.2 kilogram bernilai 40,350 serta 100 keping foil disyaki Eramin 5 anggaran 265 gram bernilai RM15,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zairulnizam, siasatan awal polis mendapati suspek berkenaan aktif melibatkan diri dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan flat tersebut sejak sebulan yang lalu.

Justeru katanya, polis kini telah mempergiatkan usaha untuk memburu dan menjejaki seorang lagi suspek lelaki disyaki pembekal bahan terlarang itu kepada suspek pertama yang ditahan di Pantai Dalam.

“Sementara, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah THC.

“Semakan ke atas suspek juga mendapati mempunyai empat rekod jenayah lampau kes dadah dn kini ditahan reman selama enam hari bermula 23 Julai hingga 28 Julai ini untuk membantu siasatan.

“Polis membuka siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada orang awam supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang melibatkan dadah.

Menurut beliau, pasukannya komited dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan ddah yang mana tindakan tegas akan diambil jika disabitkan kesalahan.- MalaysiaGazette