Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) bergambar bersama Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai  saman pemula oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima lagi ahli Parlimen terhadap Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pihaknya sudah maklum akan tindakan yang dibuat kumpulan Dr Mahathir hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Mengikut hemat saya, Tun bersama empat rakan yang lain boleh menggunakan apa yang diinginkan dalam amalan demokrasi asalkan memilih undang-undang yang termaktub.

“Saya tidak menerima notis tersebut dan terserah kepada proses undang-undang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir dan lima lagi hari ini mengemukakan permohonan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat.

Selain Mahathir, turut menyertai permohonan tersebut ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Kelima-lima plaintif memfailkan saman pemula di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang hari ini dan dilakukan melalui firma guaman Law Practice of Rafique.

Menurut kenyataan media hari ini, saman itu mencabar pelantikan Azhar yang dinamakan sebagai defendan pertama, manakala Azalina sebagai defendan kedua di mana pelantikan mereka dianggap tidak sah, bercanggah dengan Perlembagaan atau peraturan mesyuarat dewan. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.