KUALA LUMPUR – Anak syarikat penerbangan Singapore Airlines, Scoot dijadualkan menyambung semula penerbangan ke Kuala Lumpur bermula Ogos ini berikutan pembukaan semula laluan ke Kuching, Ipoh dan Pulau Pinang pada Jun lalu.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan tambang rendah itu, syarikat berkenaan juga akan memperkenalkan semula laluan perjalanan tambahan ke destinasi-destinasi lain yang berada dalam rangkaiannya pada Ogos ini.

“Bermula 1 Ogos ini. Scoot juga akan meneruskan kembali operasi penerbangan ScootPlus menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner Scoot berkuatkuasa 1 Ogos ini.

“Bagaimanapun sejajar dengan langkah-langkah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan dan kesihatan yang diperketatkan dan dilaksanakan Scoot, perkhidmatan berikut bawah ScootPlus tidak akan disediakan sehingga arahan selanjutnya.

“Perkhidmatan yang ditangguhkan buat masa ini adalah kemudahan bagasi kabin 15 kilogram dan digantikan dengan had bagasi kabin 3 kilogram sahaja manakala bagi bagasi kabin (maksimum 12 kg) boleh didaftar masuk tanpa sebarang caj tambahan.

“Selain itu makanan dan minuman dalam pesawat tidak lagi disediakan menerusi pembelian di dalam talian serta di dalam pesawat tetapi akan digantikan dengan pek sajian yang diletakkan lebih awal di tempat duduk setiap penumpang selain khidmat daftar masuk keutamaan serta menaiki pesawat,” kata syarikat tersebut.

Dalam perkembangan sama, syarikat itu berkata, bagi menjamin keselesaan perjalanan setiap penumpang bersama Scoot, perkhidmatan pertukaran tarikh dibenarkan sekali secara percuma untuk semua tempahan tiket baharu mulai hari ini sehingga 30 September 2020 akan dilanjutkan.

“Scoot juga melanjutkan dasar pengecualian perjalanan Covid-19 atau Covid-19 Travel Waiver Policy.

“Pengecualian ini digunapakai serta-merta untuk penerbangan sehingga 30 September ini yang menawarkan bayaran balik 100 peratus atau 120 peratus bayaran balik bagi baucer Scoot jika penerbangan seseorang penumpang dibatalkan.

Maklumat lanjut mengenai jadual penerbangan terkini untuk bulan Ogos 2020 boleh diperolehi menerusi laman web Scoot. – MalaysiaGazette