TERKINI : IPD KLIA Cekup Pelajar IPTA Jadi ‘Kaldai Dadah’ Jenis Syabu – Zulkifli Adamsah

Dua remaja termasuk seorang pelajar Insititusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sarawak yang menjadi kaldai dadah buat kali pertama ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Kedua-duanya yang berusia 22 dan 19 tahun itu dikatakan cuba membawa keluar dadah jenis syabu bernilai RM440,000 ke Sarawak.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, kedua-dua suspek berkenaan diupah RM600 untuk setiap kilogram dadah oleh sindiket yang berpusat di Sarawak untuk mendapatkan bekalan di Selangor dan diseludup masuk ke Sarawak dengan menjadikan klia2 sebagai pintu utama pengedaran.

Bagaimanapun katanya, bertindak atas maklumat pada 22 Julai lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA berjaya menangkap kedua-dua suspek berkenaan dan merampas sejumlah dadah yang disembunyikan dalam dua bagasi berwarna silver.