Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) menafikan telah menyerahkan kepada kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu masih dibincangkan oleh PH dan bekas perdana menteri berkenaan, serta keputusan dijangka diumum Selasa ini.

“Adalah agak mengelirukan untuk mengatakan kita (PH) telah menyerahkan kepada mereka (kumpulan Dr Mahathir untuk bertanding). Tidak … rundingan masih berjalan.

“Semasa PRK Chini (di Pahang), kami bimbang tentang COVID-19 dan skop kempen yang agak terhad, sebab itu kami putuskan untuk tidak bertanding, namun kami telah kaji semula keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program temu duga jawatan kosong Hospital USCI di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai PH memberi laluan kepada pasukan Tun Mahathir bertanding di kerusi DUN berkenaan.

Semalam, media melaporkan bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Marzuki Yahya sebagai berkata, kumpulan yang menyokong Dr Mahathir akan meletakkan calon pada PRK itu selepas wakil Majlis Presiden PH menyatakan mereka tidak akan bertanding.

“Saya tidak tahu tentang mesyuarat berkenaan, tapi kami ada hantar wakil untuk berbincang dengan pasukan Tun Mahathir,” kata Anwar.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jumaat lepas menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14. – Bernama