Arkib: Para graduan sibuk mengisi borang semasa satu Program Temuduga Terbuka foto SAFWAN MANSOR, 24 FEBRUARI 2018

PETALING JAYA – Penuntut yang baru menghabiskan pengajian dan mereka yang kehilangan pekerjaan perlu mempunyai persediaan mental mengenai kemungkinan mengalami kesukaran mencari pekerjaan, terutamanya jawatan tetap.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sangat sedikit majikan yang sanggup menawarkan jawatan tetap pada ketika ini, tetapi mereka lebih bersedia menawarkan kerja kontrak selama setahun, malahan sebulan.

Katanya, dalam kes tertentu, kontrak harian telah ditawarkan kerana majikan sendiri sukar menjangka survival perusahaan mereka untuk beberapa bulan akan datang dalam keadaan wabak dan kawalan pergerakan yang tidak menentu.

“Inilah hakikatnya dan saya berharap mereka yang sedang mencari kerja dapat bersikap realistik semasa menghadapi cabaran ini.

“Pada masa yang sama, kami juga tidak dapat menawarkan gaji dan syarat yang baik, sekadar dapat memenuhi permintaan yang minimum,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Tambahnya, banyak majikan telah membekukan pengambilan pekerja baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, pasaran kerja secara keseluruhannya malap kerana hanya pembuatan yang berkaitan dengan perladangan dan perubatan menunjukkan permintaan terhadap pekerja.

Shamsuddin berkata, dengan kira-kira 500,000  orang muda memasuki pasaran kerja setiap tahun, mereka akan menghadapi persaingan yang lebih besar tahun ini.

Beliau berkata, majikan juga berharap pekerja dapat bertindak secara fleksibel dalam soal kebajikan dan waktu kerja untuk membantu survival syarikat.

“Jika modal syarikat hanya mampu membayar gaji selama tiga bulan, maka pekerja harus membantu memanjangkan tempoh ini kepada enam, malahan sembilan bulan.

” Hanya dengan modal yang mencukupi, syarikat dapat bertahan tanpa mengurangkan pekerja.

“Jika keadaan syarikat tidak mengizinkan anda bekerja sembilan jam, maka kerja empat jam dan pengambilan gaji empat jam merupakan satu alternatif. Yang penting, syarikat dapat mengekalkan pekerja dan pekerja dapat mengekalkan kerja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast