Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persepsi masyarakat mengenai kereta model lama kurang menjadi pilihan penjenayah untuk dicuri perlu diubah kerana sebenarnya ia merupakan antara ‘barang panas’ yang sering menjadi sasaran di kalangan penjenayah ketika ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, model kereta lama buatan tempatan boleh dikatakan sering menjadi ‘pilihan’ penjenayah kerana nilai barang gantian yang terdapat pada kereta itu, selain wujudnya peluang untuk mencuri.

Menurutnya, di Cheras terdapat 1.33 juta penduduk dan ada beberapa kawasan yang tidak mempunyai tempat parkir yang teratur sehingga menyebabkan mereka terpaksa meletak kenderaan di luar pagar rumah termasuk di tempat letak kereta pangsapuri dan kondominium yang tidak ada pengawal keselamatan.

“Ini memberi peluang dan ruang kepada penjenayah untuk mencuri kenderaan ini dengan menggunakan peralatan seperti pembaris dan tidak memerlukan peralatan berteknologi tinggi.

“Saya mahu masyarakat untuk ubah persepsi mereka mengenai kereta lama tidak akan dicuri kerana kita sudah terima banyak kes,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.

Sementara itu Mohamed Mokhsein berkata, 132 kes curi kereta dan 264 kes curi motosikal dilaporkan di Cheras dalam tempoh Januari sehingga semalam dengan 27 orang ditahan berbanding 366 kes curi kereta dan 562 kes curi motosikal dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Merujuk kepada indeks jenayah di daerah Cheras pula, katanya ia menunjukkan penurunan 16.17 peratus iaitu pengurangan 148 kes bermula Januari sehingga Khamis lepas.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, sebanyak 915 kes dicatatkan tahun ini berbanding 767 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast