Seramai 2,897 orang pengembara yang diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah masih belum tampil ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapat pelepasan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 2,897 orang pengembara yang diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah masih belum tampil ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapat pelepasan.

Mereka adalah dalam kalangan warga negara yang telah pulang ke Malaysia dan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah sebelum 24 Julai 2020, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Pengembara-pengembara itu perlu menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan yang diiktiraf oleh KKM, serta mendapatkan salinan keputusan ujian tersebut.

Pada hari ke-14, pengembara perlu hadir ke PKD terdekat dengan laporan ujian Covid-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta menanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

Oleh itu, tegas beliau, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu-individu yang masih belum tampil ke PKD dengan keputusan ujian Covid-19 yang perlu dijalankan pada
hari ke-13.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 24 Julai 2020, seramai 7,897 orang pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta telah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

Bermula 24 Julai, kerajaan telah memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warga negara asing yang masuk ke Malaysia (ekspatriat, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia) perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.