KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menggalakkan pelanggan individu memanfaatkan platform perkhidmatan maya Virtual Account Opening (VAO) yang membolehkan mereka membuka akaun bank mengikut keselesaan tempat dan waktu masing-masing.

Akaun-akaun yang terlibat di bawah kemudahan berkenaan meliputi Akaun Simpanan Asas Bank Islam, Akaun Simpanan Qard dan Akaun Pelaburan Al-Awfar.

Penyelesaian mudah yang disediakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital Bank Islam ke arah memperluaskan akses perbankan, pada masa sama, menjimatkan kos serta bersifat mesra alam kerana tidak melibatkan penggunaan kertas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kemudahan pembukaan akaun secara maya ini bertujuan untuk menambah manfaat dan nilai kepada para pelanggan.

Pada masa yang sama, ia juga berperanan dalam membentuk industri perbankan masa hadapan.

Sejak pelancaran VAO pada Februari 2018, Bank Islam telah menerima purata hampir 2,000 pembukaan akaun melalui platform ini setiap bulan.

Kini, pelanggan tidak perlu menghabiskan masa mereka untuk menunggu dan membuat pendaftaran akaun baharu Bank Islam di kaunter.

Menerusi VAO, pelanggan hanya perlu mengisi e-borang yang boleh didapati di laman sesawang https://vao.bankislam.com.my/.

Setelah maklumat lengkap dihantar, pelanggan hanya perlu hadir ke cawangan Bank Islam pilihan untuk melengkapkan proses pengesahan pembukaan akaun tanpa perlu beratur. – MalaysiaGazette