Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 500,000 penduduk di negara ini berjaya menjalani soal selidik secara dalam talian bagi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa satu melalui sistem e-Census.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, jumlah tersebut masih sedikit berbanding sasaran 30 peratus daripada 32.6 juta penduduk menggunakan sistem itu.

Beliau berkata, jika lebih ramai yang terlibat dalam tempoh bancian melalui e-Census sehingga 30 September ini, ia boleh mengurangkan keperluan bancian rumah ke rumah yang bakal dilaksanakan bagi fasa kedua pada Oktober nanti.

“Kemungkinan kita akan menghadapi cabaran pada masa depan disebabkan wabak Covid-19 yang kita tidak dapat jangka.

“Jadi dengan gerak kerja yang dimulakan secara dalam talian untuk bancian 32.6 juta penduduk ia diharapkan dapat mengurangkan gerak kerja fasa kedua yang bermula pada 7 hingga 24 Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata, sebanyak sembilan juta penempatan isi rumah perlu dibanci melibatkan 100,000 pembanci dan 11,000 penyelia.

Tambahnya, usaha gerak kerja melalui e-Census secara tidak langsung menjadi usaha mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Kerana itu hari ini kita bersama Cuepacs sebagai usaha menggalakkan 1.6 juta penjawat awam untuk terlibat secara langsung untuk fasa satu ini.

“Daripada jumlah keseluruhan penjawat awam, ia boleh ditingkatkan kepada kira-kira lima juta penduduk terdiri daripada isi rumah mereka termasuk saudara mara mereka untuk turut sama terlibat menggunakan e-Census,” ujarnya.

Katanya lagi, Malaysia bertuah kerana bersedia melaksanakan bancian menggunakan teknologi berbanding puluhan negara lain yang sepatutnya melaksanakan bancian pada tahun ini, tidak dapat meneruskannya.

Ini kerana, pada asalnya terdapat 75 negara di dunia melaksanakan banci tahun ini namun, disebabkan Covid-19 mereka tidak dapat mejalankan malah banyak negara yang tidak bersedia kerana tidak ada sistem digital, jelas beliau. – MalaysiaGazette