Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Malaysia diminta terus memberi kerjasama dan patuh kepada prosedur standard operasi (SOP) supaya negara tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, jika PKP dilaksanakan kembali, negara akan rugi hampir RM2.4 bilion setiap hari kerana aktiviti ekonomi terhenti.

Sudah pasti bertambah ramai akan hilang pekerjaan, katanya.

”Kita sudah berjaya membuktikan Malaysia mampu mengatasi pandemik Covid-19 ini. Kita tidak mahu angkara sikap segelintir rakyat yang tidak patuh kepada SOP, usaha kerajaan mengatasi Covid-19 selama ini sebagai sia-sia jika kes positif semakin meningkat. Semoga Allah melindungi kita,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes Covid-19 kembali mencecah tiga angka.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan semula PKP fasa satu itu bagi membendung penularan pandemik. – MalaysiaGazette