KUALA LUMPUR – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) selaku rakan
strategik Lembaga Tabung Haji (TH) telah meningkatkan n perkhidmatan TH yang kini
merangkumi perbankan dalam talian (online banking) menerusi CIMB Clicks.
Sebelum ini, kolaborasi antara TH dan CIMB Islamic sejak tahun 2019 telah pun memberi
akses kepada perkhidmatan TH di lebih 2,900 rangkaian terminal layan diri CIMB seluruh
Negara.
Pengenalan akses terbaharu melalui CIMB Clicks ini pasti akan memudahkan hampir
9 juta pendeposit TH melaksanakan transaksi TH seperti pindahan wang dari akaun TH ke akaun CIMB dan sebaliknya; pindahan wang ke akaun pihak ke-3 TH, pertanyaan baki simpanan serta pendaftaran dan pembatalan link akaun TH kepada akaun CIMB.
Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic berkata, dengan adanya kemudahan perbankan dalam talian CIMB Clicks, pelanggan-pelanggan CIMB, tidak kira sama ada mereka mempunyai akaun CIMB Bank atau CIMB Islamic boleh mengakses perkhidmatan TH sekali gus melakukan transaksi di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Kemudahan dan akses atas talian ini akan ditambah nilai dari semasa ke semasa, selaras dengan iltizam kami untuk membangun CIMB sebagai sebuah Bank Digital untuk masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, kerjasama
strategik ini akan meningkatkan akses perkhidmatan TH dari lebih 10,000 rangkaian perkhidmatan kepada satu jumlah yang lebih tinggi kerana potensi perkhidmatan perbankan dalam talian adalah besar.
Ini membolehkan pendeposit untuk melakukan urusan tanpa perlu pergi ke pejabat TH. – MalaysiaGazette