Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung bicara kes audit 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa menafikan sebarang bentuk paksaan mahupun ugutan terhadap Tan Sri Ambrin Buang untuk meminda atau mengeluarkan apa-apa kandungan tertentu dari Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ali Hamsa merupakan saksi keempat dalam perbicaraan  kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menafikan wujudnya sebarang ‘tekanan’ kepada Ambrin yang ketika itu adalah Ketua Audit Negara.

Sebaliknya dakwa Ali Hamsa, sebenarnya terpulang kepada Ambrin untuk membuat keputusan muktamad berhubung cadangan pindaan ketika  Mesyuarat Penyelarasan Laporan Audit 1MDB pada 24 Februari 2016.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hadir sebagai saksi bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 JUN 2020

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika sesi soal balas peguam bela mewakili Arul Kanda, Datuk N Sivanathan.

Mesyuarat khas itu membabitkan Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, dan wakil 1MDB yang turut di hadiri oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda.

Mesyuarat itu juga dianggap penting kerana ada dakwaan keputusan dibuat untuk membuang bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB seperti berkaitan dua pernyataan kewangan yang bertentangan.

Sivanathan: Jadi tolong jelaskan dalam mahkamah ini, apa sahaja keputusan berhubung pindaan mahupun membuang beberapa perenggan kandungan laporan audit ini, siapa yang mempunyai kata muktamad?

Siapa boleh buat keputusan?

Ali Hamsa: Kita biarkan Ketua Audit untuk buat keputusan.

Sivanathan: Adakah beliau telah menerima tekanan, paksaan untuk lakukan sebarang pindaan ketika itu?

Ali Hamsa: Tidak.

Sivanathan: Jadi anda setuju sebenarnya Tan Sri Ambrin mempunyai kuasa untuk berkata beliau tidak akan pinda apa-apa dalam laporan audit itu dan keputusan itu adalah muktamad?

Ali Hamsa: Ya, setuju.

Sivanathan: Adakah anda telah memaksa atau menekan beliau?

Ali Hamsa: Tidak pernah.

Sebenarnya tidak pernah timbul isu seperti itu, paksaan untuk sesiapa meminda laporan audit sepanjang mesyuarat pada 24 Februari itu.

Sementara itu, Ali Hamsa juga mendedahkan sikap Arul Kanda yang bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kepentingan 1MDB.

Jelas beliau, sememangnya selaku CEO 1MDB memang ada betulnya untuk beliau bertindak demikian.

Sivanathan: Adakah kata muktmad bukannya dari Arul sebaliknya antara kamu dan Tan Sri Ambrin?

Ali Hamsa: Benar.

Sivanathan: Jika ikut kedudukan hieraki sekalipun, anda paling atas? Dan Arul adalah jawatan paling bawah sekali?

Ali Hamsa: Betul.

Sivanathan: Arul boleh beri cadangan tetapi akhirnya semua terpulang kepada Ketua Audit Negara?

Ali Hamsa: Benar.

Sebelum ini, saksi itu pernah mengaku mesyuarat penyelarasan tersebut bersetuju untuk memadam beberapa isu antaranya kewujudan dua penyata kewangan 1MDB yang bercanggah bagi tahun 2014 dan berhubung kehadiran ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat 1MDB.

Turut dipersetujui ialah memadamkan persetujuan Najib terhadap isu penangguhan penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelak tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan terbabit bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan.

Mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kemudian di tangguhkan sehingga Rabu ini oleh Mohamed Zaini. –MalaysiaGazette