Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa agar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menjawab sendiri dakwaan bahawa geng Kartel membiayai penyokong mereka.

Bekas orang nombor dua Anwar itu berkata, kenyataan yang dibuat semalam cuma dakwaan dan lantas menafikan perkara tersebut.

“Saya tidak tahu, tanya dia (Anwar).

“Dia yang buat dakwaan, jadi dia kena jawab,” katanya kepada media di Parlimen, hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menjawab pertanyaan media mengenai pendedahan Anwar semalam bahawa kumpulan yang menyokong Azmin dibiayai oleh geng Kartel.

Anwar mendakwa seorang penyokong kumpulan itu dibayar RM5,000 sebulan untuk mendapatkan sokongan.

Pendedahan itu dizahirkan Anwar selepas beliau berjumpa dengan penyokong kumpulan berkenaan yang hilang arah apabila kumpulan itu bertindak meninggalkan PKR, tidak lama dahulu.

“Ada seseorang datang kepada saya kata dia dibayar kelompok kartel RM5,000 sebulan, jadi dia datang kepada saya kata macam mana dia nak kekal dapat parti, siapa nak bayar (biaya) dia.

“Saya cuma simpati dan dengar sebab dia ada keluarga. Saya kata akhirnya kena ada harga diri. Kalau akhirnya nilai anda tu RM5,000, habis lah,” katanya ketika berucap Konvensyen Penerangan Keadilan 2020 yang diadakan di Ampang, semalam.

Umum mengetahui kumpulan kartel diketuai Azmin dan disokong oleh bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Pada penghujung Februari lalu, Azmin dan 10 Ahli Parlimen parti itu mengumumkan keluar daripada PKR dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Selain Azmin, mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuffin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ahli Parlimen Seratok, Ali Biju; Puncak Borneo, Willie Mogin dan Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin turut mengumumkan keluar PKR. – MalaysiaGazette