File picture

BUTTERWORTH – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala kiri di dalam bilik air rumah keluarganya di Taman Seri Maklom, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Muhammad Asiff Md. Rozi, 30 ditemukan bapanya ketika hendak mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh pada 5.30 pagi tadi.

“Bapa mangsa menemui mayat anak lelakinya yang berlumuran darah dalam bilik air dan terus menghubungi polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan disyaki kesan tembakan di kepala sebelah kiri mangsa.

Polis turut menemui sepucuk pistol berlumuran darah di sebelah mangsa yang dipercayai digunakan untuk menembak dirinya.

“Polis masih menjalankan siasatan dari mana mangsa mendapat senjata api tersebut dan maklumat lengkap berhubung pistol digunakan mangsa,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa merupakan seorang duda dan tidak bekerja dan tinggal bersama ibu bapanya di rumah berkenaan serta dikatakan tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.

Katanya, ibu mangsa memaklumkan mangsa pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri di India pada 2017 dan hanya mendapatkan rawatan sekali serta tiada rawatan susulan selepas itu.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa dikatakan mengalami masalah kemurungan yang boleh menjurus kepada membunuh diri.

Kes disiasat sebagai kematian mengejut dan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast