Umat Islam dibenarkan untuk pulang ke kampung bagi meraikan Hari Raya Aidiladha.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menghalang umat Islam di negara ini merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada hari Jumaat ini.

Bagaimanapun, mereka diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Seperti mana yang ditetapkan pada Hari Raya Aidilfitri lalu, setiap rumah tidak dibenarkan menerima lebih 20 tetamu, juga terpakai pada sambutan Aidiladha ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengingatkan individu-individu yang masih dalam proses kuarantin di kediaman masing-masing dilarang sama sekali untuk keluar dari rumah, apatah lagi untuk pulang ke kampung ataupun menunaikan solat sunat Aidiladha.

Malah, mereka ini sama sekali tidak boleh menerima tetamu.

Dalam taklimat mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Ismail Sabri berkata, beliau menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai selepas membuat kenyataan bahawa PKP akan dilaksanakan semula jika jangkitan Covid-19 tinggi.

Ismail Sabri akui kerajaan berdepan dengan impak yang besar jika PKP dilaksanakan semula terutama kepada perniagaan dan pergerakan orang ramai.

“Tetapi sama ada kita akan melaksanakan semula PKP atau tidak, rakyatlah yang menentukannya.

“Kalau tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, langgar SOP yang ditetapkan dengan tidak melakukan penjarakan sosial, tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga kebersihan diri hingga menyebabkan kes tinggi, maka kerajaan perlu bertindak.

“Jadi tepuk dada tanya selesa,” ujarnya. – MalaysiaGazette