KUALA LUMPUR – Masyarakat Malaysia diingatkan agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengelakkan diri daripada risiko jangkitan Hepatitis A, B, C, D dan E.

Hepatitis adalah satu penyakit keradangan hati akibat jangkitan virus Hepatitis A, B,C, D atau E.

Virus Hepatitis A dan E biasanya berjangkit melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dan tidak membawa kepada penyakit yang kronik manakala Hepatitis B, C dan D yang berjangkit melalui darah atau cecair badan boleh membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati.

Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang yang dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seksual, juga boleh berjangkit daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar notifikasi Hepatitis A di negara ini adalah rendah walaupun menunjukkan sedikit peningkatan dalam masa 10 tahun lalu iaitu 0.1 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2009 kepada 0.3 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2019.

Bagi Hepatitis B pula, kadar notifikasi adalah lebih tinggi dan telah menunjukkan peningkatan iaitu daripada 2.1 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2009 kepada 15.3 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2019.

Peningkatan juga ditunjukkan bagi Hepatitis C iaitu daripada 3.7 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2009 kepada 10.6 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2019.

”Peningkatan ini berlaku susulan meningkatnya kesedaran orang ramai terutamanya mereka yang berisiko untuk menjalani ujian saringan bagi tujuan pengesanan dan rawatan awal,” katanya sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia hari ini.

Langkah pencegahan terbaik bagi Hepatitis A adalah dengan mengamalkan penjagaan kebersihan yang baik seperti sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun selepas menggunakan bilik air atau memegang benda-benda kotor; dan sebelum menyediakan makanan atau sebelum makan.

Selain itu, masyarakat dinasihatkan supaya minum air yang terawat atau yang telah dimasak terutama semasa melawat tempat yang berisiko seperti kawasan yang tidak mempunyai sistem bekalan air, pengurusan najis atau pelupusan sisa yang sempurna, tempat-tempat rekreasi air yang menjadi tumpuan orang ramai dan negara-negara tertentu yang mempunyai kadar penyakit hepatitis yang tinggi.

Untuk mengelakkan jangkitan Hepatitis B dan C pula, masyarakat dinasihatkan tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan lain-lain kerana ia boleh menyebabkan luka di mana virus boleh menular.

Pesakit Hepatitis B dan C juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah, katanya.

Bagi mereka yang mempunyai risiko yang tinggi dan terdedah kepada risiko jangkitan Hepatitis B dan C adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan bagi mengesan jangkitan hepatitis dan seterusnya boleh diberikan rawatan awal.

Ibu bapa dinasihatkan untuk memastikan anak mereka diberi imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Dr Noor Hisham berkata, di bawah program ini, vaksin Hepatitis B perlu diberikan sebanyak 3 dos iaitu sejurus selepas bayi lahir, pada umur 1 bulan dan 6 bulan.

Pemberian vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas bayi lahir adalah 95% efektif dalam mencegah daripada jangkitan virus Hepatitis B dalam tempoh perinatal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast