Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memohon penerangan lanjut daripada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengeluarkan kenyataan bahawa institusi perbankan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion ekoran pelaksanaan program moratorium.

Menurut beliau, moratorium untuk pinjaman perumahan merupakan penangguhan bayaran ansuran dan bukannya pembatalan hutang.

“Apakah yang dimaksudkan dengan kerugian oleh sektor perbankan sebanyak RM1.06 bilion setiap bulan untuk tempoh 6 bulan?

“Adakah ‘kerugian’ yang dimaksudkan hanyalah sekadar keuntungan yang tertangguh?

“Malah terdapat pinjaman kepada peniaga kecil yang terpaksa menanggung faedah terakru (faedah ke atas faedah) sepanjang tempoh moratorium,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia ekoran penerimaan pelbagai pertanyaan kepada pihaknya yang mengutarakan persoalan mengapa kerajaan tidak boleh berunding dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak-pihak bank untuk melanjutkan moratorium.

Jelas beliau lagi, institusi perbankan dijangka hanya akan menanggung kerugian apabila pinjaman-pinjaman yang diberikan bertukar menjadi Pinjaman Tak Berbayar atau Non Performing Loans (NPL).

“Status NPL terguna pakai apabila peminjam gagal membuat bayaran untuk tempoh tiga bulan berturut-turut.

“Kadar NPL sebelum moratorium adalah sekitar 1.57% iaitu pada kadar yang rendah. Namun, aktiviti ekonomi yang masih merudum ditambah dengan kemungkinan peningkatan semula jangkitan Covid-19, tekanan dalaman Perikatan Nasional yang mendesak Pilihanraya mengejut akan menyebabkan suasana ekonomi kekal tidak menentu,” katanya lagi.

Semalam, Tengku Zafrul berkata institusi perbankan dianggarkan mengalami jumlah kerugian sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium selama enam bulan atau sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium.

Ia turut melibatkan pengurangan kapasiti bank untuk pemberian pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion. – MalaysiaGazette