KUALA LUMPUR – Penerbitan garis panduan merangkumi kesemua instrumen peraturan termasuk pengeluaran lesen dan permit, pendaftaran, notifikasi dan pemeriksaan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dijangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober ini.

Pada peringkat permulaan pelaksanaan, MPC telah mengenal pasti instrumen-instrumen pelesenan serta kementerian dan agensi kerajaan berkaitan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen dan permit.

Templat garis panduan kepada kementerian dan agensi yang berkenaan juga sudah diedarkan.

”MPC telah memulakan pelaksanaan mandat yang telah diberikan dalam penyediaan garis panduan ini dan bekerjasama rapat dengan JKKMAR, kerajaan pusat dan negeri, serta pihak berkuasa tempatan,” kata Datuk Abdul Latif Abu Seman, Ketua Pengarah MPC.

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Jun lalu memutuskan setiap kementerian dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen dan permit perlu menerbitkan garis panduan dan dipaparkan secara atas talian untuk makluman umum.

MPC telah diberi mandat oleh jawatankuasa ini untuk membantu memastikan inisiatif ini dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Pelaksanaan ini bertujuan untuk mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan pengeluaran lesen dan permit, meningkatkan integriti penyampaian perkhidmatan awam, dan mengelakkan berlakunya rasuah dan salah laku.

”MPC dengan kerjasama semua pihak akan melaksanakan mandat yang telah diberikan. Ia selari dengan teras strategik dan inisiatif peringkat kebangsaan di dalam Rangka Kerja Produktiviti Malaysia (MPB) dalam membina ekosistem yang mantap untuk meningkatkan keberkesanan,  kebolehsesuaian, dan kebertanggungjawaban dalam sistem tadbir-urus demi menyokong perniagaan meningkatkan produktiviti.

”Ini akan memastikan persekitaran perniagaan yang sihat dan berdaya-saing,” kata Abdul Latif.

Pelaksanaan penyediaan garis panduan ini dijangka disempurnakan pada Oktober 2020 di peringkat Kerajaan Pusat dan inisiatif ini akan dipanjangkan ke negeri-negeri pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette